Al-Quran merupakan petunjuk dan
pedoman umat Islam dan merupakan mukjizat terbesar dan teragung diturunkan
kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran diturunkan dengan tujuh huruf ( سبعة أحرف ) memberi kemudahan kepada umat Islam untuk
membaca dan mengamalkan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Penurunan al-Quran
dengan tujuh huruf ini bermula pada zaman dakwah baginda di Madinah setelah
dakwah Nabi Muhammad s.a.w. semakin meluas ke Tanah Arab.
Orang Arab mempunyai pelbagai lahjah
( dialek ) yang timbul dari fitrah mereka dari suara dan huruf-huruf. Setiap
kabilah mempunyai sebutan sendiri dalam mengucapkan kata-kata yang tidak
dimiliki oleh kabilah lain. Namun begitu, semua suku bangsa Arab menjadikan
bahasa Quraisy sebagai bahasa ibunda kerana bahasa Quraisy mempunyai keistimewaannya
tersendiri.
Oleh itu, al-Quran diturunkan dalam
bahasa Quraisy kerana Nabi Muhammad s.a.w. juga berbangsa Quraisy untuk
memudahkan mereka memahaminya.Tetapi apabila orang Arab berbeza lahjah dalam
mengungkapkan sesuatu makna dengan perbezaan tertentu, maka al-Quran diturunkan
kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyempurnakan kemukjizatannya merangkumi
semua huruf dan wajah qiraah di antara lahjah-lahjah itu.Ini memudahkan mereka
untuk membaca, menghafal dan memahaminya.
Berikut merupakan beberapa hadis
yang menunjukkan penurunan al-Quran dalam tujuh huruf :
1)
Dari Ibn ‘Abbas
r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya :
“Jibril a.s mengajar aku membaca al-Quran
dengan beberapa huruf, aku memintanya menambah huruf tersebut lalu ia
menambahkannya sehinggalah berakhir dengan tujuh huruf .”
2) Dari Ubay Ibn Ka’ab r.a. meriwayatkan : “ Ketika Rasulullah s.a.w. berada di mata air Bani Ghifar, Jibril a.s.
datang kepadanya seraya berkata: Sesungguhnya Allah s.w.t. memerintahkan kamu
mengajar al-Quran kepada umatmu dengan satu huruf (bentuk dan kaedah). Baginda
bersabda: Aku memohon kesejahteraan dan keampunanNya, sesungguhnya umatku tidak
mampu. Kemudian datang Jibril kali kedua dan berkata: Sesungguhnya Allah s.w.t.
memerintahkan kamu mengajar al-Quran kepada umatmu dengan dua huruf, baginda
bersabda: Aku memohon kesejahteraan dan keampunanNya, sesungguhnya umatku tidak
mampu. Sehinggalah datang kali ketiga dan kali terakhirnya iaitu yang keempat
Jibril a.s. berkata: Sesungguhnya Allah s.w.t. memerintahkan kamu mengajar
al-Quran kepada umatmu dengan tujuh huruf dan mana huruf yang mereka baca
sesungguhnya ia adalah betul dan tepat .”
3) Dari Umar ibn al-Khattab
r.a. meriwayatkan, dia berkata,maksudnya : Aku
mendengar Hisham Ibn Hakim membaca surah al-Furqan ketika Rasulullah s.a.w.
masih hidup. Aku mendengar bacaannya tiba-tiba dia membaca mengikut huruf yang
banyak yang Rasulullah s.a.w. tidak mengajarku. Aku terasa ingin menariknya
dalam sembahyang, tetapi aku menunggunya sehingga dia selesai sembahyang.
Lantas aku menarik bajunya dan berkata : Siapakah yang mengajar kamu membaca
surah ini? Beliau menjawab:Rasulullah s.a.w. Aku berkata: Kamu bohong, demi
Allah !Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah mengajar aku surah ini, lalu aku
mengheretnya kepada Rasulullah s.a.w. dan aku berkata : Wahai Rasulullah s.a.w.
sesungguhnya aku telah mendengar lelaki ini membaca surah Furqan mengikut huruf
yang tidak kamu mengajar kepadaku.Rasulullah s.a.w bersabda : Wahai Umar,lepaskannya
dan baca wahai Hisham. Lalu Hisham membaca bacaan yang aku mendengarnya tadi.
Sabda Rasulullah s.a.w. demikianlah al-Quran diturunkan. Dan Rasulullah s.a.w.
bersabda : “Sesungguhnya al- Quran ini
diturunkan dengan tujuh huruf maka bacalah kamu semua apa yang mudah darinya .”
Ikhtilaf tentang makna tujuh huruf
Para ulama berselisih pendapat
mengenai makna tujuh huruf tersebut sehingga 35 pendapat. Kebanyakan
pendapat-pendapat ini tidak ada beza antara satu sama lain. Tetapi di sini,
kita akan melihat beberapa pendapat yang penting :
1)
Sebagai 7 jenis bahasa
daripada bahasa-bahasa Arab yang berbeza lafaznya tetapi mempunyai satu erti
atau makna.
Maksudnya , apabila
berlaku perbezaan antara bahasa-bahasa Arab dari segi penggunaan lafaz untuk
sesuatu makna, al-Quran akan diturunkan dengan lafaz tersebut. Apabila tiada
perbezaan, al-Quran akan diturunkan dengan satu lafaz atau lebih.
Ulama juga berselisih pendapat dalam
menentukan 7 bahasa tersebut, satu pendapat menyatakan : Quraisy, Huzail,
Saqif, Hawazin, Kinanah, Tamim dan Yaman.
Dan Abu Hatim As-Sajistari menambah
lagi 3 jenis bahasa iaitu Azad, Rabi’ah dan Sa’ad bin Bakar selain Quraisy,
Huzail, Tamim dan Hauzan.
2)
Sebagai 7 jenis bahasa
daripada bahasa-bahasa Arab, al-Quran diturunkan. Maksudnya, al-Quran secara
keseluruhannya tidak terkeluar dari menggunakan 7 bahasa ini, terutamanya yang
paling fasih bahasa yang paling banyak digunakan adalah bahasa Quraisy.
3)
Sebagai 7 wajah iaitu :
Antaranya, Amar ( perintah ), Nahi ( larangan ), Wa’ad ( janji ), Wa’id (
ancaman ), Jadal ( perdebatan ), Qasas ( cerita ) dan Masal ( perumpamaan )
atau Amar, Nahi, Halal, Haram, Muhkam, Mutashabih dan Amsal.
4)
Sebagai 7 huruf adalah
tujuh perkara yang terdapat pelbagai ikhtilaf di dalamnya, iaitu :
i)
Perbezaan al-asma’ dalam
bentuk mufrad, muzakkar dan cabang-cabangnya seperti ( tasniyah, jamak dan
ta’nis ).
Contohnya :
وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ
وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ﴿٨﴾
(
Al-Mu’minun : 8 )
Lafaz
bergaris dibaca secara jamak لأماناتهم dan mufrad لأمانتهم .
ii)
Perbezaan dari segi I’rab.
Contohnya :
مَا هَـٰذَا بَشَرًا إِنْ هَـٰذَا إِلَّا
مَلَكٌ كَرِيمٌ ﴿٣١﴾
( Yusuf : 31 )
Sebahagian
jumhur ulama membaca dengan nasb بشرًا menggunakan
lughah ahlul Ijaz, manakala Ibn Masu’d membacanya dengan raf’uبشرٌ menggunakan lughah bani Tamim.
iii)
Perbezaan dalam tasrif.
Contohnya :
فَقَالُوا رَبَّنَا بَاعِدْ بَيْنَ
أَسْفَارِنَا وَظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَجَعَلْنَاهُمْ أَحَادِيثَ وَمَزَّقْنَاهُمْ
كُلَّ مُمَزَّقٍ ۚ إِنَّ
فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ ﴿١٩﴾
(
Saba : 19 )
Sebahagian
qiraaat membaca lafaz ربَّنَا dengan ربُّنَاdan dalam kedudukan yang lain lafaz باعد dengan
باعدَ .
iv)
Perbezaan dalam takdim dan
ta’khir.
Contohnya :
وَجَاءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَقِّ ۖ ذَٰلِكَ مَا كُنتَ مِنْهُ تَحِيدُ﴿١٩﴾
(
Qaf : 19 )
Dibaca
dengan didahulukan الحق dan diakhirkan الموت
. Qiraat ini dianggap lemah.
v)
Perbezaan dalam ibdal dari
segi penggantian huruf dengan huruf.
Contohnya :
وَانظُرْ إِلَى الْعِظَامِ كَيْفَ نُنشِزُهَا
ثُمَّ نَكْسُوهَا لَحْمًا ۚ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ قَالَ أَعْلَمُ
أَنَّ اللَّـهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٢٥٩﴾
(
Al-Baqarah : 259 )
Kalimah
ننشزها dibaca dengan ننشرها ( zai diibdalkan dengan huruf ra’ ).
vi)
Perbezaan dalam penambahan
dan pengurangan kalimah.
Contohnya :
وَمَا خَلَقَ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ ﴿٣﴾
(
Al-Lail : 3 )
Sebahagian
qiraat ada yang membuang lafaz ما خلق .
vii)
Perbezaan dalam lahjah
sama ada bacaan dengan tebal atau nipis, fathah dan imalah, izhar dan idgham,
hamzah dan tahlil, isymam dan sebagainya.
Contohnya :
وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ مُوسَىٰ ﴿٩﴾
(
Taha : 9 )
Dibaca
أتى danموسى dengan imalah ( teleng ). Sebutannya antara
fathah dan kasrah.
5)
Sebahagian ulama
berikhtilaf tentang bilangan 7 huruf
yang disebutkan lebih kepada isyarat lambang kesempurnaan bahasa Arab
kerana lafaz “Sab’ah” digunakan untuk jumlah yang banyak bilangan seperti “70”
dalam puluhan , “700” dalam bilangan ratusan dan bukan menunjukkan pada
bilangan tertentu.
6)
Sebagai 7 huruf bermakna
Qiraat Tujuh.
Pendapat yang paling rajih adalah
pendapat yang pertama, yang menyatakan 7 huruf sebagai tujuh jenis bahasa
daripada bahasa-bahasa Arab yang mempunyai satu erti atau makna, contohnya : أقبل و تعال , وهلم , وعجّل , و أسرع .
Semuanya lafaz-lafaz berbeza yang
mempunyai makna yang satu. Pendapat ini dipegang oleh Sufyan bin ‘Uyainah, Ibnu
Jarir, Ibnu Wahab dan lain-lain.
Ibn ‘Abdil Barri menisbahkan pendapat
ini kepada sebahagian besar ulama dan dalilnya terdapat dalam hadis Abi Bakrah
: “ Bahawasanya Jibril berkata, Wahai
Muhammad, bacalah Quran dengan satu huruf. Lalu Mikail mengatakan :“Tambahkan”.
Jibril berkata lagi, “Dengan dua huruf”.Jibril terus menambahnya hingga sampai
enam atau tujuh huruf. Lalu Jibril berkata, “Semua itu ubat penawar yang
memadai, selama ayat azab tidak ditutup dengan ayat rahmat, dan ayat rahmat
tidak ditutup dengan ayat azab .”
Ibn ‘Abdil Barri menyebut, “Maksud
hadis ini hanyalah sebagai contoh bagi huruf-huruf yang dengannya al-Quran
diturunkan. Ketujuh huruf itu mempunyai makna yang sama pengertiannya, tetapi
berbeza dari segi sebutannya. Tidak ada satupun di antaranya yang mempunyai
makna yang saling berlawanan atau satu sudut yang berbeza makna dari sudut yang
lain secara berlawanan. Seperti rahmat berlawanan dengan azab.
Pendapat pertama ini disokong oleh
banyak hadis lain.
Hikmah al-Quran diturunkan dalam tujuh huruf
Hikmah Allah menurunkan al-Quran dalam
7 huruf ialah :
1)
Memudahkan mereka membaca
dan menghafalnya ke atas kaum Arab yang ummi ( tidak pandai membaca dan menulis
).
Seperti di dalam hadis riwayat Muslim
diriwayatkan oleh Ubay, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “ Wahai Ubay ! Aku diperintahkan agar
membacakan al-Quran dengan satu huruf, maka aku memohon kepada malaikat Jibril
agar diberi kemudahan bagi umatku, dan dia menjawab agar aku membacanya dengan
dua huruf.Aku masih mengulangi lagi permintaan agar diberi keringanan untuk
umatku. Maka dia menjawab untuk yang ketiga kalinya, “ Bacalah al-Quran itu
dengan tujuh huruf .”
2)
Sebagai
menguatkan mukjizat al-Quran. Penurunan al-Quran dengan tujuh bahasa Arab untuk
fitrah lughah ( bahasa ) yang digunakan seluruh Arab, bukan kepada kabilah yang
tertentu.
3)
Mukjizat
al-Quran pada makna-makna dan hukum hakam. Perubahan-perubahan bentuk lafaz
pada beberapa huruf dan kalimah menyediakan al-Quran untuk proses istinbat (
pengeluaran ) hukum dan menjadikan hukum al-Quran sesuai sepanjang masa dan
zaman. Kerana itulah ulama perlu kepada 7 Qiraat dalam proses istinbat dan
ijtihad.
3 comments:
rujukan kitab mana woi
itulah rujukan dari kitab mane ..
mabahis fi ulumi quran
Post a Comment